Followers

Tuesday, May 31, 2011

Biodata - Perdana Menteri Malaysia 5


Perdana Menteri Malaysia Kelima
(Tun Abdullah Ahmad Badawi)

Tun Abdullah Ahmad Badawi dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Beliau yang merupakan anak sulung daripada empat beradik ini adalah anak kepada pasangan Haji Ahmad Haji Abdullah Fahim (lebih dikenali sebagai Ahmad Badawi) dan Datuk Khailan Hassan. Adik-beradik beliau ialah Ambrahim dan Mohamad.
Tun Abdullah Ahmad Badawi mendirikan rumahtangga dengan Datin Seri Endon Mahmood pada 4 September 1965 ketika beliau berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam. Datin Seri Endon merupakan anak sulung kembar yang dilahirkan pada 24 Disember 1940.
Hasil perkongsian hidup pasangan ini, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Kamaluddin dan Nori.
Datin Seri Endon telah kembali ke rahmatullah pada 20 Oktober 2005 akibat kanser payu dara. Seterusnya, Tun Abdullah mengahwini Datin Seri Jeanne Abdullah pada 9 Jun 2007 setelah hampir dua tahun hidup bersendirian.
Pemimpin yang lebih dikenali sebagai Mr. Nice Guy ini memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Permatang Bertam, Kepala Batas dan kemudiannya meneruskan pelajaran ke Special Malay School iaitu sebuah sekolah yang ditubuhkan oleh Kerajaan British untuk pelajar melayu cemerlang di peringkat sekolah rendah.
Sejurus selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya, Tun Abdullah mula berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan dan Diplomatik (PTD) dan telah menjadi Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam bermula pada tahun 1964.
Tun Abdullah mula menceburkan diri dalam dunia politik sekitar tahun 1966. Keluarganya sendiri mempunyai pengaruh politik yang sangat kuat di utara tanah air. Malah pengikut-pengikut politik di Pulau Pinang sudah terbiasa dengan kewibawaan politik keluarga ini.
Datuk beliau Haji Abdullah Fahim merupakan pelopor awal UMNO yang mempunyai peranan penting dalam menuntut kemerdekaan daripada kerajaan British. Selain itu, Haji Abdullah Fahim adalah tokoh yang telah menentukan tarikh kemerdekaan hasil daripada perbincangan mengenainya di rumah beliau sendiri.
Bapa beliau, Haji Ahmad Haji Abdullah Fahim merupakan seorang guru agama, pegawai agama negeri dan juga penyokong kuat UMNO. Malah bapanya juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang dari 1972 hingga 1977. Haji Ahmad Badawi juga pernah menjadi ahli jawatankuasa kanan kerajaan negeri, di mana pada 1972 beliau berkhidmat sebagai Exco Kanan yang memegang portfolio Hal Ehwal Islam dalam kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Tun Dr. Lim Chong Eu. Semasa Tun Dr. Lim bercuti ke luar negara, Haji Ahmad Badawi telah dilantik sebagai Pemangku Ketua Menteri.
Perdana Menteri kelima ini terlibat secara langsung dalam arena politik selepas bapanya meninggal dunia pada 8 Mei 1977 dimana keputusan ini telah menukar haluan kariernya. Ketika itu beliau merasa bertanggungjawab untuk meneruskan perjuangan bapanya dan telah meletak jawatan di dalam perkhidmatan awam.
Tun Abdullah telah bertanding dalam pilihan raya bagi kawasan Parlimen Kepala Batas pada 1978 dengan memenangi undi majoriti 5,029. Disember tahun yang sama juga, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang.
Penglibatan beliau dalam arena politik semakin menyinar apabila dipilih menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO semenjak 1981. Manakala pada 1984, 1987 dan 1990 pula Tun Abdullah telah menjadi Naib Presiden UMNO melalui pemilihan di dalam Perhimpunan Agung UMNO.
Tun Abdullah terus diberi kepercayaan apabila Tun Dr. Mahathir telah melantik beliau menjadi Timbalannya sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO pada 1999. Ketika itu juga beliau merupakan Menteri Dalam Negeri dan timbalan pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Pada 1999, beliau telah memenangi pilihan raya umum bagi kerusi Parlimen Kepala Batas dengan majoriti 11,175 undi menewaskan Khalid Rasid (PAS). Dengan itu beliau telah diberikan tugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri Terengganu menggantikan Tan Sri Wan Mokhtar. Selaku Timbalan Presiden UMNO. Perwakilan UMNO juga telah mengekalkan Abdullah sebagai Timbalan Presiden UMNO bagi penggal 2000-2003.
Tun Abdullah telah dilantik menjadi Perdana Menteri kelima pada 31 Oktober 2003. Upacara mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri diadakan di Istana Negara dengan disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail melalui penyerahan kuasa.
Beliau menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mana telah mentadbir negara selama 22 tahun lamanya. Apabila Tun Dr. Mahathir bersara pada bulan Oktober 2003, impak pentadbirannya amat besar ke atas landskap politik, ekonomi, pembangunan, infrastruktur, dasar luar dan minda masyarakat Malaysia.
Peralihan kepimpinan dalam kerajaan dan parti itu berjalan lancar dengan Tun Abdullah sebagai Perdana Menteri kelima menjanjikan pentadbiran yang ‘tegas, adil dan saksama’.
Tun Abdullah memiliki ciri-ciri yang membolehkan beliau memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima di mana warisan kepimpinan memerlukan seorang pemimpin yang berwibawa untuk menerajui negara. Antara aspek penting dalam menentukan kepimpinan dan warisan kepimpinan adalah untuk memastikan bahawa pilihan tersebut mampu untuk mengabdikan diri kepada semua rakyat Malaysia.
Pengalamannya memimpin Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan Setiausaha MAGERAN akan menjadi titik-tolak kepada dasar beliau dalam mempertahankan ketuanan orang Melayu di negara ini yang juga akan bersifat agenda nasional.
Latar belakang Tun Abdullah juga penting untuk masa depan orang Melayu kerana sudah pasti beliau mahu memperisaikan diri orang Melayu degan kekuatan moral sebagai persediaan dunia akhirat. Keseimbangan pasti ditekankan supaya orang Melayu tidak alpa dalam arus kemodenan kerana semata-mata mengutamakan keuntungan material, nilai keagamaan dan kepercayaan perlu dipinggirkan. Konsep Islam Hadhari akan menjadi benteng dan corak kepimpinannya kerana apa sahaja yang yang dilakukan adalah untuk pembangunan Islam dan umatnya tanpa ada perpecahan di kalangan mereka. Malahan dalam ucapan sulung sebagai Presiden UMNO yang keenam dalam Perhimpunan Agung UMNO 2004, beliau meletakkan Islam Hadhari sebagai agenda untuk menempatkan bangsa Malaysia di arena yang cemerlang.
Tun Abdullah sering mengingatkan pelbagai lapisan masyarakat bahawa beliau bukan sahaja Presiden UMNO tetapi juga merupakan Perdana Menteri Malaysia dan akan memastikan hak semua warga negara ini terpelihara. Ini kerana pembangunan perlu diimbangi dengan pembentukan perpaduan antara kaum supaya kestabilan politik tidak tergugat. Beliau memastikan bahawa apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh beliau mendapat sokongan sepenuhnya daripada pemimpin pelbagai masyarakat supaya kepimpinan beliau berjalan licin tanpa ada cacat-celanya.
“Jangan bekerja untuk saya, tetapi mari bekerja bersama-sama saya”, ini merupakan salah satu ucapan keramatnya ketika mula-mula diangkat menjadi Perdana Menteri. Beliau mahu setiap golongan rakyat bangun bekerja bersama-sama beliau untuk membangunkan negara.
Tun Abdullah memulakan kepimpinannya dengan moto ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.’ Komitmen beliau amat tinggi untuk melahirkan pentadbiran yang jujur, efisien, Islamik dan peka kepada nasib penduduk luar bandar dan wilayah-wilayah yang tidak begitu mendapat perhatian selama ini. Seorang penganalisis politik tanah air merumuskan kepimpinan Tun Abdullah dengan menulis: “Beliau menangani banyak isu-isu kecil yang mengesankan rakyat terbanyak.”
Slogan pertamanya “bekerja bersama-sama saya bukan untuk saya” telah memperlihatkan beliau mula merintis jalannya tersendiri dalam penampilannya sebagai Perdana Menteri. Jelas sekali falsafah kepimpinan beliau menganggap rakyat, pegawai kerajaan, pemimpin masyarakat dan pemimpin politik, sebagai rakan untuk menjayakan cita-cita bangsa. Beliau tidak mahu mereka bekerja untuk beliau semata-mata.
Tekadnya memerangi gejala rasuah dan menjauhi rasuah merupakan permulaan pimpinannya yang sangat terpuji. Malah, pada “Hari Kualiti Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri” beliau telah berikrar sebagai seorang Islam untuk tidak melibatkan diri dalam rasuah. Beliau juga meminta pegawai-pegawai kerajaan tidak menerima rasuah dalam usaha menghapuskan gejala jijik ini. rasuah juga diisytiharkan sebagai musuh nombor satu di bawah kepimpinannya.
Elemen-elemen pentadbiran awam yang efektif, dasar luar secara berdialog, mementingkan sumber manusia daripada pembangunan fizikal semata-mata, memberi keutamaan ke atas sektor pertanian dan integrasi nasional adalah satu langkah yang sangat bijak dilakukan oleh Perdana Menteri kelima ini dalam memastikan rakyat mendapat kebaikan bersama. Ini juga merupakan gagasan yang akan menjadi kekuatan kepimpinan Tun Abdullah untuk jangka masa panjang mentadbir negara.

Sumber Maklumat : http://umno-online.com/?page_id=2915

No comments:

Post a Comment

Post a Comment