Followers

Monday, June 6, 2011

11 Teknik Memperbaiki Disiplin Bilik Darjah

Diadaptasi oleh Budd Churchward
1. Berfokus
Pastikan anda memiliki perhatian semua pelajar sebelum memulakan pengajaran.
Jangan cuba mengajar apabila masih ada pelajar yang berbual-bual. Biasanya, guru pelatih berharap bilik darjah akan menjadi tenteram apabila pangajaran bermula. Sebaliknya, pelajar-pelajar berkemungkinan berpendapat bahawa guru sanggup bersaing dengannya; mereka boleh bercakap walaupun guru bercakap dan guru akan bercakap dengan suara yang lebih kuat lagi. Selain itu, mereka membentuk idea bahawa guru tidak hiraukan ketidakperhatian pelajar ketika guru mengajar
Teknik berfokus bererti guru meminta perhatian pelajar sebelum memulakan pengajaran - guru akan tunggu dan tidak memulakan pengajaran sehingga semua pelajar bersedia. Teknik senyap sangat berkesan. Guru boleh berhenti selama 5 - 10 saat selepas semua pelajar telah senyap. Selepas itu, gunakan suara yang lebih lembut daripada biasa.
Guru yang menggunakan suara yang lembut biasanya mewujudkan bilik darjah yang lebih senyap berbanding dengan guru yang menggunakan suara yang kuat. Pelajar-pelajar terpaksa duduk dengan tertib untuk mendengar pengajaran guru.
2. Instruksi Secara Langsung
Ketidakpastian meningkatkan aras kegelabahan, kegalakan dan kegegaran dalam bilik darjah. Teknik instruksi secara langsung ialah untuk memulakan setiap pengajaran dengan memaklumkan pelajar sejelas-jelasnya apa yang akan berlaku dalam kelas itu. Guru menyatakan apa yang ia dan murid akan buat serta had-had masa untuk tugasan-tugasan.
Guru boleh memperuntukkan masa pada akhir kelas agar pelajar boleh melakukan aktiviti pilihan. Contohnya, guru memberi masa 15 minit untuk pelajar berbual-bual, pergi ke perpustakaan, atau menyiapkan kerja kelas lain. Guru akan lebih rela menunggu untuk mendapatkan perhatian pelajar kerana ia tahu terdapat masa lebihan pada akhir pengajaran manakala pelajar juga menyedari bahawa semakin lama guru menunggu bererti semakin kurang masa bebas untuk pelajar.
3. Pemantauan
Kunci kepada prinsip ini adalah supaya guru beredar dalam bilik darjah. Semasa murid bekerja, berjalan di antara mereka dan memeriksa kemajuannya.
Guru yang berkesan akan berjalan melintasi seluruh bilik darjah selepas 3 minit pelajar diberi tugasan bertulis. Ia akan menyemak sama ada pelajar telah bermula tugasan, memeriksa kerja-kerja yang telah diselesaikan oleh pelajar, dan memberi pengajaran bersifat individu.
Guru tidak akan menggangu kelas atau membuat pengumuman kecuali ia dapati beberapa orang pelajar menghadapi masalah yang sama.
4. Teladan
"Values are caught, not taught." - ini bererti nilai-nilai diamalkan dan dicontohi oleh pelajar dan bukan diajar secara langsung. Guru yang bersopan, tekun, bersemangat, bersabar dan dapat mengawal diri, menjadi contoh yang baik untuk pelajar.
Sekiranya guru mahu pelajar menggunakan suara yang lembut semasa menyiapkan kerja, guru sendiri mesti menggunakan suara yang lembut apabila ia menolong pelajar secara individu.
5. Isyarat Bukan Lisan
Untuk mendapatkan perhatian pelajar dengan segera, guru boleh menggunakan isyarat bukan lisan seperti liceng atas meja, suis lampu, atau 'clickers'.
Isyarat bukan lisan juga boleh berbentuk ungkapan muka, postur badan, dan isyarat tangan. Contohnya 'isyarat senyap' yang dicadangkan oleh Kagan - apabila guru angkat tangannya, semua pelajar mesti berhenti bercakap dan turut angkat tangan.
Guru perlu memilih isyarat yang sesuai dengan pelajar dan menjelaskan kehendak guru yang sepadan dengan isyarat yang dipilih.
6. Kawalan Persekitaran
Sebuah bilik darjah sebaik-baiknya tempat yang mesra dan riang. Pelajar rasa seronok jika persekitarannya bertukar wajah dari semasa ke semasa. Sudut pembelajaran yang mempunyai gambar dan warna menimbulkan minat akan sesuatu mata pelajaran.
Pelajar muda berminat mengetahui guru dan kegemarannya. Masukkan item-item peribadi dalam bilik darjah. Contohnya gambar keluarga atau bahan-bahan mengenai hobi guru dapat memikat minat murid dan memudahkan perbualan antara guru dan murid. Semakin banyak guru mengenali murid, semakin kurangnya masalah disiplin.
Walaupun bilik darjah boleh dihiaskan dengan pelbagai bahan, sediakan juga sudut yang agak "senyap" dan kurang bahan yang menggangu. Ini penting untuk mengelakkan pelajar yang senang pindah perhatian menumpukan perhatian kepada pembelajaran. Pelajar demikian harus diberi tempat yang kurang hiasan untuk menjalankan kerja-kerja sendiri.
7. Interversi Berprofail Rendah
Kebanyakan pelajar dihantar ke pejabat guru besar akibat konfrontasi yang melampau. Biasanya guru menegur pelajar berkenaan atas kesalahan yang ringan akan tetapi dalam saat-saat genting, guru dan murid mencetusakn perbalahan verbal yang tidak dapat dikawal. Kebanyakan kes demikian boleh dielakkan jika guru melakukan interversi yang tenang dan senyap.
Guru yang berkesan akan memastikan pelajar yang melakukan salah laku tidak dijadikan fokus perhatian. Ia akan memantau bilik darjahnya dengan sentiasa rondaan yang kerap, menyeluruh dan senyap. Justeru itu, ia cuba menjangkakan salah laku yang mungkin berlaku. Pendekatannya terhadap pelajar yang menggangu kelas adalah dalam bentuk yang tidak mudah dilihat atau tidak menarik perhatian orang lain. Pelajar lain tidak rasa terganggu.
Semasa memberi penerangan, guru boleh teknik "name-dropping". Sekiranya ia dapati seseorang pelajar bercakap atau tidak membuat kerja yang disuruh, ia akan menggunakan nama pelajar berkenaan dalam dialognya dalam cara yang natural: "Sekiranya Abo mempunyai 5 biji rambutan dan Ado mempunyai 6 biji rambutan, berapakah jumlah rambutan yang dipunyai oleh Abo dan Ado?" Apabila Abo mendengar namanya disebut, ia akan berhenti bercakap atau menumpukan perhatian yang dikehendaki oleh gurunya. Pelajar-pelajar lain tidak rasa pun bahawa guru telah menegur Abo.
8. Disiplin Asertif
Ini merupakan autoriti yang menetapkan had-had tingkah laku yang dibenarkan. Guru adalah bos dalam bilik darjah dan tiada sesiapa dibenarkan menggangu pembelajaran orang lain. Peraturan dinyatakan dengan jelasnya dan dikuatkuasakan dengan konsistennya.
9. Mesej-Saya yang Asertif
Salah satu komponen disiplin asertif ialah mesej-Saya yang merupakan pernyataan yang digunakan oleh guru ketika murid menimbulkan masalah disiplin.
Mesej-mesej ini berbentuk jangkaan yang jelas tentang apa yang harus dilakukan oleh murid. Fokus guru ialah memusatkan perhatian pelajar kepada tingkah laku yang dikehendaki, bukan 'misbehaviour' atau tingkah laku yang tidak baik.
Contohnya ialah: 'Saya inginkan anda ...'; 'Saya hendakkan anda ...'; 'Saya jangkakan anda akan ...'.
Guru yang kurang berpengalaman akan menggunakan arahan seperti: 'Saya mahukan anda berhenti ...'. Ini akan menimbulkan rasa konfrontasi dan penafian. Fokus di sini ialah kepada 'misbehaviour' dan pelajar akan menjawab dengan mengatakan bahawa 'Saya tidak buat apa-apa'; 'Bukan salah saya...'; 'Sejak bila wujudnya peraturan yang melarang ...'. Keadaan ini akan memburukkan keadaan dan hubungan guru-murid.
10. Mesej-Saya yang Humanistik
Mesej ini merupakan ekspresi perasaan. Mengikut Thomas Gordon, mesej ini terdiri daripada 3 bahagian. Pertamanya, suatu deskripsi tentang tingkah laku pelajar: 'Semasa anda bercakap ketika saya memberi penerangan...'. Keduanya, kesan tingkah laku pelajar ke atas guru: '... saya terpaksa berhenti pengajaran saya ...'. Dan ketiganya, perasaan yang dialami oleh guru akibatnya: '...ini menghampakan saya.'
Contohnya seorang guru yang diganggu oleh murid yang kerap bercakap apabila ia sedang mengajar pernah menyatakan ekspresi perasaannya seperti berikut: 'I can not imagine what I have done to you that I do not deserve the respect from you that I get from the others in this class. If I have been rude to you or inconsiderate in any way, please let me know. I feel as though I have somehow offended you and now you are unwilling to show me respect.' Murid itu tidak lagi bercakap ketika guru menyampaikan pengajarannya buat beberapa minggu selepas itu!
11. Disiplin Positif
Gunakan peraturuan bilik darjah yang menghuraikan tingkah laku yang dikehendaki dan bukan perlakuan yang dilarang. Contohnya, elakkan daripada 'dilarang berlari dalam bilik' tetapi gunakan 'bergerak dalam bilik dalam cara yang teratur'. 'Selesaikan konflik dengan cara yang sesuai' bukan 'Dilarang bergaduh'.
Selalu nyatakan jangkaan anda tentang peraturan yang telah ditetapkan.
Gunakan pujian setiap kali sesuatu tingkah laku yang baik ditunjukkan oleh pelajar. Pujian tidak semestinya berbentuk verbal, ada kalanya senyuman, anggukan, atau tanda bagus dengan ibu jari boleh memperkukuhkan tingkah laku yang baik.

No comments:

Post a Comment